Koleksi Hadith- Doa Agar Ditetapkan Hati Dalam Iman dan Ketaatan

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash RA, beliau berkata; Rasulullah SAW berdoa:اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (Hadith riwayat Muslim, No: 2654, at-Tirmizi, No: 3522, Ibn Majah, No: 199, Ahmad, No: 6281, 16972)

Dalam riwayat at-Tirmizi: Adalah Rasulullah SAW dalam kebanyakan doa baginda adalah;

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Dalam riwayat Ibn Majah pula: Dan Rasulullah SAW berdoa:

يَا مُثَبِّتَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

“Wahai Zat yang meneguhkan hati, teguhkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

 

Matan Hadith:

عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

]التخريج: صحيح مسلم ,كتاب الْقَدَرِ , بَابُ تَصْرِيفِ اللَّهِ تَعَالَى الْقُلُوبَ كَيْفَ شَاءَ , حديث رقم 2654, عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما[

وَفِي رِوَايَةِ التِرْمِذِي: كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

وَفِي رِوَايَةِ إِبْنِ مَاجَه : وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: يَا مُثَبِّتَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

Pengajaran Hadith :
  1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.
  2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara baik dan jahat, antara kebaikan dan kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yg ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara. Seseorang Muslim dituntut agar memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat).
  3. Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendak (untuk menjadikan hati seseorang sesat) maka ia akan disesatkan-Nya dan jika Dia berkehendak (menetapkan iman seseorang) maka akan diteguhkan di atas petunjuk-Nya. Justeru, berdoalah agar Allah SWT meneguhkan hati dan tidak memalingkannya daripada rahmat dan hidayah-Nya.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  3. Kitab Sunan Ibn Majah
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi
  6. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari

Koleksi Hadith Hukum Melakukan Amalan yang Tidak Dilakukan oleh Rasulullah SAW

Daripada Anas RA, beliau berkata: “Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah SAW. Jika mereka melihat baginda (datang), mereka tidak akan bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No.2754 dan Ahmad, No. 11895, 13132, berkata at-Tirmizi: “Hadith ini hasan sahih gharib.”)

 

Matan Hadith:

 

عَنْ أَنَسٍ قَالَ: لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ .قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ

]التخريج: سنن الترمذي , كتاب الأدب , باب ما جاء في كراهية قيام الرجل للرجل , حديث رقم 2754 , عن أنس بن مالك رضي الله عنه.[

Pengajaran Hadith :
  1. Para sahabat RA adalah ikutan terbaik dalam mencintai dan menyanjungi Nabi SAW. Mereka merupakan teladan yang terbaik dalam mengenal dan beramal dengan sunnah baginda SAW. Para sahabat RA akan mempraktikkan semua amalan yang disukai oleh Nabi SAW dan meninggalkan semua amalan yang dibenci oleh baginda SAW walaupun amalan tersebut bercanggah dengan kesukaan atau kebencian mereka.
  2. Sebagai seorang pemimpin, Nabi SAW telah menunjukkan suri teladan yang terbaik. Contohnya, para sahabat RA meninggalkan perbuatan berdiri untuk menghormati baginda SAW kerana mereka mengetahui bahawa baginda SAW membenci perbuatan tersebut. Jika baginda tidak membenci perbuatan tersebut pasti mereka akan berdiri untuk baginda. Perlu difahami bahawa baginda SAW membenci perbuatan tersebut kerana sifat tawadhu‘ baginda, bukan kerana perbuatan tersebut haram. Menurut Imam An-Nawawi di dalam kitabnya ‘Syarah Sahih Muslim’ (6/313): “Dianjurkan memuliakan seseorang yang memiliki kelebihan dan menyambut mereka dengan cara berdiri ketika mereka tiba. Inilah yang dijadikan hujah oleh jumhur ulama untuk menyatakan sunat berdiri bagi memuliakan seseorang. Al-Qadhi berkata: “Ia bukanlah termasuk dalam kategori berdiri yang ditegah, tetapi tegahan adalah ditujukan kepada mereka yang mengarahkan orang lain berdiri untuknya sedangkan dia dalam keadaan duduk dan keadaan berdiri itu sepanjang masa dia duduk.” Saya (An Nawawi) berpendapat, bangun berdiri untuk menyambut kedatangan seorang yang memiliki kelebihan adalah mustahab (sunat). Bahkan anjuran tersebut turut dinyatakan dalam beberapa hadith, manakala larangan mengenainya tidak dinyatakan dengan jelas.”
  3. Justeru, kita tidak boleh memahami maksud hadith daripada zahirnya sahaja atau hanya daripada satu hadith untuk beramal atau meninggalkan sesuatu perkara bahkan setiap Muslim hendaklah meneladani serta menerima tunjuk ajar para ulama yang muktabar kerana mereka lebih banyak memahami hadith sama ada ianya sunnah ataupun tidak, dan apakah hukum disebaliknya.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Jami’ at-Tarmizi
  2. Kitab Musnad Ahmad
  3. Kitab Syarh Sahih Muslim Li An-Nawawi
  4. Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
  5. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
  6. Kitab Syarh wa Al-Ibanah ‘Ala Usuli Al-Sunnah wa Al-Diyanah Li Al-‘Akbari
  7. Kitab Al-Anwar fi Syamail An-Nabiyyi Al-Mukhtar Li Al-Baghawi

Koleksi Hadith Doa Agar Ditetapkan Hati Dalam Iman dan Ketaatan

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash RA, beliau berkata; Rasulullah SAW berdoa:اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (Hadith riwayat Muslim, No: 2654, at-Tirmizi, No: 3522, Ibn Majah, No: 199, Ahmad, No: 6281, 16972)

Dalam riwayat at-Tirmizi: Adalah Rasulullah SAW dalam kebanyakan doa baginda adalah;

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Dalam riwayat Ibn Majah pula: Dan Rasulullah SAW berdoa:

يَا مُثَبِّتَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

“Wahai Zat yang meneguhkan hati, teguhkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

 

Matan Hadith:

عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

]التخريج: صحيح مسلم ,كتاب الْقَدَرِ , بَابُ تَصْرِيفِ اللَّهِ تَعَالَى الْقُلُوبَ كَيْفَ شَاءَ , حديث رقم 2654, عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما[

وَفِي رِوَايَةِ التِرْمِذِي: كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

وَفِي رِوَايَةِ إِبْنِ مَاجَه : وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: يَا مُثَبِّتَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

Pengajaran Hadith :
  1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.
  2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara baik dan jahat, antara kebaikan dan kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yg ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara. Seseorang Muslim dituntut agar memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat).
  3. Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendak (untuk menjadikan hati seseorang sesat) maka ia akan disesatkan-Nya dan jika Dia berkehendak (menetapkan iman seseorang) maka akan diteguhkan di atas petunjuk-Nya. Justeru, berdoalah agar Allah SWT meneguhkan hati dan tidak memalingkannya daripada rahmat dan hidayah-Nya.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  3. Kitab Sunan Ibn Majah
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi
  6. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari

Koleksi Hadith Kewajipan Menjaga Lidah dan Kemaluan

Daripada Sahl bin Sa’d RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.”(Hadith riwayat al-Bukhari, No: 6474, 6807, at-Tirmizi, No: 2408, Ahmad, No: 21757)

 

Matan Hadith:

 

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ

]التخريج : صحيح البخاري , كتاب الرقاق , باب حفظ اللسان , رقم الحديث 6474 , عن سهل بن سعد رضي الله عنه[

Pengajaran Hadith :
  1. Allah SWT telah mencipta syurga dan neraka di akhirat sebagai destinasi abadi seseorang hamba. Apabila dia melakukan amal kebaikan, balasan syurga akan menanti dan sebaliknya jika melakukan amal kejahatan maka nerakalah tempat kembali.
  2. Jaminan syurga kepada seseorang Muslim yang dapat menjaga mulut, lidah dan kemaluannya. Menjaga mulut ialah menjauhi makanan dan sumber yang haram. Menjaga lidah pula dengan memperbanyakkan berzikir, memohon keampunan dan bertaubat daripada dosa-dosa yang telah dilakukan. Seterusnya menjaga kemaluan daripada hubungan yang tidak halal dan yang diharamkan.
  3. Keutamaan menjaga lidah kerana daripadanya akan lahir perbuatan yang akan membawa kepada dosa-dosa kemaluan dan sebagainya. Awasilah dalam berkata-kata. Jangan disebabkan tergelincir dan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  3. Kitab Musnad Ahmad
  4. Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
  5. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-QariKitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Lil Imam al-Nawawi

Koleksi Hadith -Kebaikan vs Dosa

Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah akhlak yang baik. Manakala dosa adalah sesuatu yang membuat hati gementar dan bimbang serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya.” (Hadith riwayat Muslim, No: 2553, at-Tirmizi, No: 2389, Ahmad, No: 16973).

 

Matan Hadith:

 

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

]التخريج : صحيح مسلم ,كتاب البر والصلة والآداب , باب تفسير البر والإثم , حديث رقم 2553 , عن النواس بن سمعان الأنصاري رضي الله عنه[

Pengajaran Hadith :
  1. Fitrah manusia adalah mahu memperoleh kebaikan dan menjadi individu yang baik kerana itulah akhlak yang baik. Dari aspek teori, menjadi baik tidaklah sukar kerana kebaikan itu adalah dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  2. Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk yang datang daripada jiwa seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan.
  3. Manusia fitrahnya suka melakukan kebaikan dan kebenaran. Melakukannya akan menyebabkan hati tenang. Manakala perkara dosa pula menggementarkan hati. Apabila melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar, resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  3. Kitab Musnad Ahmad
  4. Kitab Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi
  5. Kitab Faidhul Qodir Syarah Al-Jami’us Shoghir
  6. Kitab Al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah

Koleksi Hadith Calon Penghuni Kubur

Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata; Rasulullah SAW pernah memegang sebahagian daripada tubuhku seraya bersabda: “Wahai Abdullah, jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara, dan persiapkanlah dirimu sebagai calon penghuni kubur.” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No: 2333, Ibn Majah, No: 4114, Ahmad, No: 4865) 

Matan Hadith:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِبَعْضِ جَسَدِي فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَعُدَّ نَفْسَكَ فِي أَهْلِ القُبُورِ

]التخريج: جامع الترمذي , أبواب الزهد , باب ما جاء في قصر الأمل , حديث رقم 2333 , عن عبد الله بن عمر بن الخطاب[

Pengajaran Hadith :
  1. Allah SWT bersifat Ar-Rahman (Maha Pengasih). Maha Pengasihnya Allah SWT menyeluruh kepada semua hamba-Nya di atas dunia ini. Manakala di akhirat kelak Allah SWT bersifat Ar-Rahim (Maha Penyayang), hanya akan memberikan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dengan balasan syurga.
  2. Dunia adalah tempat persinggahan dalam perjalanan menuju akhirat. Ianya bersifat sementara dan terlalu singkat sehingga kesempatan dan peluang yang ada tidak boleh ditangguh-tangguhkan. Ketika sihat sebelum datangnya sakit dan waktu lapang sebelum datangnya waktu sibuk, perlu direbut untuk melakukan amal ibadah serta ketaatan sebelum datangnya ajal.
  3. Akhirat pula adalah tempat pembalasan atas setiap amal yang dilakukan di dunia. Oleh itu, lakukanlah persiapan dengan sebaik-baiknya. Bagi mendapatkan kebaikan dalam beramal, seseorang itu hendaklah menganggap diri seperti orang yang sudah mati, tiada lagi cinta kepada dunia bahkan cinta dan rindunya hanya untuk kembali ke akhirat, negeri asalnya yang kekal abadi.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Jami’ at-Tarmizi
  2. Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
  3. Kitab Sunan Ibn Majah
  4. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
  5. Kitab Fathul Mu‘in Bisyarhi Al-Arba‘in Li Ibn Hajar Al-Haytami
  6. Kitab Minhajul Al-Mukhlisin Syarh Kitab Al-Yakin Li Ibn Abi Dunya
  7. Kitab Dalil Al-Falihin Li Turuqi Riyad Al-Solihin Li Muhammad Ibn ‘Allan

Koleksi Hadith Tuntutan Menghubungkan Silaturrahim

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturrahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturrahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturrahim, beliau segera menyambungkannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No: 5991, Abu Dawud, No: 1697, at-Tirmizi, No: 1908, Ahmad, No: 6496, lafaz hadith riwayat at-Tirmizi)

 

Matan Hadith:

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا انْقَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

]التخريج: سنن الترمذي , كتاب البر والصلة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم , باب ما جاء في صلة الرحم , عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه , وقَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ[

Pengajaran Hadith :
  1. Islam agama yang mementingkan hubungan persaudaraan. Hubungan silaturrahim yang baik dan bersifat al-Wasil akan mengukuhkan lagi hubungan sesama Islam. Al-Wasil (penyambung silaturrahim) itu bukanlah orang yang mengharapkan balasan daripada saudaranya (jika saudaranya bersilaturrahim maka diapun akan membalas dengan bersilaturahim) tetapi al-Wasil ialah orang yang segera menyambung silaturrahim jika silaturahim dengan saudaranya terputus.
  2. Antara silaturrahim yang disyariatkan adalah saling mengasihi, memuliakan, memberi maaf kepada orang yang berbuat zalim kepadanya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan sebagainya. Kesemua itu dilakukan hanyalah semata-mata kerana Allah SWT jua bukan bertujuan untuk mendapatkan pujian serta habuan dunia.
  3. Seseorang Muslim hendaklah terus menghubungkan silaturrahim terutama dengan kaum kerabat dan saudaranya yang lain meskipun mereka tidak menerima tindakannya itu dengan kebaikan. Islam mengajar bahawa setiap kejahatan yang dilakukan terhadap seseorang Muslim tidak boleh dijadikan penyebab terputus silaturrahim dan kebaikan.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Sunan Abu Dawud
  3. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
  6. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Lil Imam al-Nawawi

Koleksi Hadith- Segera dalam Beramal

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar.” (Hadith riwayat At-Tirmizi, No: 2306, Al-Hakim dalam al-Mustadrak, No: 7976, al-Tobrani dalam Mu’jam al-Awsatd, No: 3957) 

Matan Hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ

]التخريج: سنن الترمذي , كتاب الزهد عن رسول الله صلى الله عليه وسلم , باب ما جاء في المبادرة بالعمل , رقم الحديث 2306 , عن أبي هريرة رضب الله عته , وقَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ[

Pengajaran Hadith :
  1. Sesunggunya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.
  2. Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.
  3. Setiap Muslim hendaklah segera beramal sebelum datangnya tujuh perkara berikut :
    1. Kefakiran yang akan melupakan kamu daripada kewajipan.
    2. Kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas.
    3. Penyakit yang membinasakan sehingga sukar untuk beramal soleh.
    4. Masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran.
    5. Kematian yang cepat dan secara tiba-tiba.
    6. Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu.
    7. Hari Kiamat yang sangat mengerikan.
Sumber Rujukan :
  1. Kitab Jami’ at-Tarmizi
  2. Kitab al-Mustadrak alaa al-Sahihaini Li al-Hakim
  3. Kitab Mu’jam al-Awsatd Li al-Tobrani
  4. Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
  5. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Lil Imam al-Nawawi